Manuel Neuer Umum Persaraan Bola Sepak Antarabangsa Pada Usia 38 Tahun

August 22, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tiada lagi kelibat penjaga gol, Manuel Neuer bersama skuad kebangsaan Jerman selepas daripada saat ini.

Ianya susulan pemain berusia 38 tahun terbabit mengumumkan bersara daripada aksi bola sepak antarabangsa menerusi satu hantaran dan juga video di akaun Instagram peribadinya, pada Rabu.

Neuer melakukan debut bersama skuad senior negaranya ketika berusia 23 tahun di bawah bimbingan ketua jurulatih, Joachim Low.

Ianya merupakan sebuah perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Al-Maktoum yang berakhir dengan Jerman mencatatkan kemenangan besar 7-2.

Sejak dari itu, Neuer terus menjadi sandaran utama untuk mengawal gawang Jerman daripada dibolosi pihak lawan.

Secara keseluruhannya, Neuer merekodkan 124 penampilan bersama Jerman – terbanyak dalam kalangan penjaga gol mengatasi Sepp Maier dan Oliver Kahn yang membuat 95 dan 86 penampilan masing-masing.

Untuk rekod, Neuer merupakan salah seorang daripada anggota skuad kebangsaan Jerman yang menjulang trofi Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.

Di kejohanan itu juga, Neuer memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas dengan mencatatkan bolos sebanyak empat gol sahaja daripada tujuh perlawanan.

Sebagai tambahan, pengumuman Neuer ini hadir kira-kira dua hari selepas pemain tengah, Ilkay Gundogan, 33 tahun, turut mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.

Featured Image: Instagram Manuel Neuer

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd