
Tiga pemain badminton negara yang membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 menerima hadiah berupa sebuah kenderaan setiap seorang sepertimana dijanjikan oleh Chery Malaysia.
Pemain-pemain yang dimaksudkan itu ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia dimana setiap seorang dihadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) model Tiggo 7 Pro yang berharga RM123,800 seunit.
Penyampaian kenderaan tersebut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sambil diiringi Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew dan Cheng Nam Weng dalam satu majlis di Chery Bandar Bukit Puchong, hari ini.
Bagaimanapun, Zii Jia tidak hadir ke majlis ini kerana ke negara matahari terbit menyertai Terbuka Jepun 2024.

Untuk makluman, Tiggo 7 Pro merupakan sebuah SUV lima tempat duduk yang dilengkapi dengan enjin Turbocharged Petro Direct Injection 1.6L, dipadankan dengan transmisi dwi-cekam 7-kelajuan (DCT) dan mempunyai Advanced Driver Assistance System 2.5 (ADAS 2.5),
Tidak ketinggalan, kenderaan ini turut dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar,, sistem audio premium Sony dan bumbung panoramik.
Sebagai rekod, gandingan Aaron-Wooi Yuk membawa pulang pingat gangsa selepas menumpaskan beregu Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen menerusi skor 16-21, 22-20 dan 21-19.
Sementara itu, Zii Jia membutirkan pingat gangsa kedua buat Kontinjen Malaysia susulan menumbangkan perseorangan India, Lakshya Sen dengan keputusan 13-21, 21-16 dan 21-11.