Piala FA: Seorang Tonggak Selangor FC Alami Kecederaan, Tidak Dapat Beraksi Menentang JDT
August 23, 2024 Hafizuddin Omar

Salah seorang pemain tengah Selangor FC terlepas perlawanan akhir Piala FA 2024-25 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pemain yang dimaksudkan itu ialah Mukhairi Ajmal yang berusia 22 tahun sepertimana disahkan oleh Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil.

“(Semua cergas) kecuali Mukhairi Ajmal, pemain itu saya boleh sahkan tidak akan berada dalam pasukan sebab dia ada kecederaan yang saya rasa akan pulih dalam masa sebulan.” katanya dalam sidang media yang berlangsung pada pagi tadi.

Sebagai rekod, Mukhairi dilihat kali terakhir beraksi bersama skuad berjulukan Gergasi Merah ketika bertemu Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Pada masa yang sama, Nidzam tersengih apabila diajukan persoalan samada Faisal Halim atau turut dikenali sebagai Mickey akan disenaraikan bersama pasukan serta diturunkan dalam perlawanan akhir ini.

Perkara itu ditolak kepada kaptennya, Safuwan Baharudin untuk dijawab dan pemain yang bakal menjengah usia 33 tahun itu mengiyakan berkenaan hal tersebut.

Semasa sesi latihan rasmi di SNBJ semalam, kelibat Mickey bersama-sama pasukan dapat disaksikan sepertimana dikongsikan pelbagai platform media sosial milik skuad Gergasi Merah. 

Sebelum ini, Faisal telah diturunkan bermain selama 45 minit mewakili pasukan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura dalam perebutan Piala Sultan Selangor 2024 di Stadium Merdeka pada Sabtu lalu.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen