Menteri Komunikasi, SetPol PM, SetPol TPM Tawar Diri Bertanding Kongres KLFA
August 23, 2024 Hafizuddin Omar

Seorang lagi Ahli Jemaah Menteri tampil menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) – pemilik kepada Kuala Lumpur City FC (KL City).

Ahli Jemaah Menteri yang dimaksudkan ialah YB Fahmi Fadzil merangkap Menteri Komunikasi Malaysia.

Hasrat untuk bertanding jawatan tertinggi bagi KLFA itu disuarakan sendiri oleh Fahmi yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai menerusi satu video dimuat naik akaun Tiktok peribadinya.

“Saya Fahmi Fadzil dengan ini mengumumkan bahawa saya ingin menawarkan diri sebagai calon Presiden KLFA.” katanya.

Pengumumannya tidak terhenti setakat itu, Fahmi turut memaklumkan beberapa individu yang akan bersamanya bagi merebut jawatan-jawatan lain dalam KLFA pada kongres yang akan berlangsung pada 7hb September kelak.

@fahmi.fadzil

Saya dengan ini mengumumkan ingin menawarkan diri sebagai calon Presiden KLFA. Harapan besar saya ialah ingin memartabatkan kelab-kelab gabungan dan memastikan KLFA diuruskan dengan lebih baik serta lebih mapan supaya bolasepak di Kuala Lumpur lebih maju. Kuala Lumpur Sampai Mati! #fahmifadzil #KualaLumpurSampaiMati

♬ original sound – Fahmi Fadzil – Fahmi Fadzil

Antaranya, Dato’ Sri Wong dan Syed Yazid Syed Omar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden KLFA.

Sementara itu, Dato’ Dino, Datuk Ramlan Askolani serta Setiausaha Politik (SetPol) Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; dan SetPol Kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Razlan Rafii akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden KLFA.

“Kami menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan-jawatan yang telah saya sebutkan tadi,”

“Hasrat kami untuk martabatkan kelab-kelab gabungan, memastikan KLFA diurus dengan lebih baik, lebih mapan supaya bola sepak di Kuala Lumpur lebih maju,” tambahnya.

Pada saat ini, jawatan Presiden KLFA dipangku Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid susulan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad meletakkan jawatan sekitar pertengahan Mac lalu.

Untuk makluman, Fahmi menjadi Ahli Jemaah Menteri yang kedua menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden KLFA selepas Menteri Sumber Asli & Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan hasrat yang sama pada awal Ogos baru-baru ini.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen