Ribut Petir Dijangka Melanda SNBJ Petang Sabtu – METMalaysia
August 23, 2024 Hafizuddin Omar

Pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC untuk merebut trofi Piala FA 2024-25 dijangka dimainkan di atas padang yang basah.

Ini susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan ramalan berlakunya hujan atau ribut petir pada petang Sabtu (24hb Ogos) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ramalan khas sempena perlawanan akhir Piala FA Ke-34 itu dikeluarkan METMalaysia berserta satu grafik yang dimuat naik di pelbagai platform media sosialnya, kira-kira tiga jam lalu.

Bagaimanapun, pada sebelah malamnya, METMalaysia meramalkan tiada hujan melanda di stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk itu.

Tinjauan pada petang ini turut menyaksikan SNBJ dan kawasan sekitarnya ditimpa hujan bermula kira-kira jam 3 petang tadi.

Sementara itu, keadaan padang di SNBJ tampak “okay” dan tiada sebarang lopak air mahupun takungan air dilihat daripada tempat duduk penonton.

Komen