Selepas mendapat sebuah kereta Chery Tiggo 7 Pro berharga RM123,800 setiap seorang, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menerima pula ganjaran berupa wang tunai daripada majikannya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu diberikan ganjaran bernilai RM125,000 setiap seorang – hasil meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ganjaran tersebut disampaikan oleh Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dalam satu majlis yang diadakan secara ringkas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada hari.
Jumlah ganjaran tersebut meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding yang mereka terima ketika membawa pulang kilauan pingat yang sama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 – RM120,000 untuk dua orang.
Dalam majlis yang sama, BAM turut menyampaikan ganjaran kepada barisan kejurulatihan dan staf sokongan yang bernilai RM60,000 yang diwakilkan kepada Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dan jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Ganjaran itu juga meningkat berbanding yang diberikan kepada barisan kejurulatihan dan staf sokongan selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 – sebanyak RM30,000 sahaja.
Selain daripada hadiah dan ganjaran yang telah diterima seperti dinyatakan di atas, gandingan Aaron-Wooi Yik akan menerima satu lagi ganjaran wang tunai oleh pihak kerajaan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Setiap seorang akan menerima RM100,000 sepertimana diberitahu oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh baru-baru ini.