Norza Zakaria Kotakan Janji Letak Jawatan Presiden BAM
August 24, 2024 Hafizuddin Omar

Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria kini bukan lagi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas selesainya Mesyuarat Majlis BAM kali ketiga pada tahun ini pada hari ini, Norza mengumumkan titik noktah sebagai peneraju bagi badan induk badminton tanah air.

“Sudah tentu hari ini, bagi saya adalah hari yang bersejarah kerana ia merupakan hari terakhir saya sebagai Presiden BAM, ini (juga) merupakan Mesyuarat Majlis BAM terakhir buat saya,” katanya.

Pengumuman perletakan jawatannya secara rasmi pada hari ini sekaligus mengotakan janji yang dibuatnya selepas Mesyuarat Majlis BAM kali kedua pada tahun ini sekitar penghujung Mei lalu.

Sementara itu, mesyuarat pada hari ini turut mengesahkan secara rasmi penglibatan Timbalan Presiden BAM I, Datuk V. Subramaniam sebagai Pemangku Presiden BAM sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM dijangka pada April 2025.

Untuk makluman, Norza mula memangku jawatan sebagai Presiden BAM pada 2016 sebelum dilantik sebagai Presiden BAM bermula tahun 2017.

Selepas daripada ini, Norza memaklumkan akan memberikan tumpuan terhadap beberapa jawatan yang dipegangnya pada peringkat antarabangsa seperti Ahli Jawatankuasa Sukan Untuk Semua Majlis Olimpik Asia (OCA), Ahli Jawatankuasa Koordinasi untuk Sukan Asia Ke-20 Aichi-Nagoya 2026 dan Presiden Kehormat Badminton Asia (BA).

Manakala pada 8hb September kelak, Norza akan dilantik secara rasmi sebagai Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara pada Perhimpunan Agung OCA selepas beliau disahkan menjadi calon tunggal bagi jawatan berkenaan.

Di Malaysia pula, Norza masih kekal mengemudi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selaku presiden.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen