Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Dapat Lampu Hijau Tinggalkan BAM Pada 1 September
August 24, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu badminton lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin tidak lagi bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak serta meneruskan karier mereka secara bebas (independent).

Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh Chee Keong tampil mengesahkan perkara berkenaan dalam memaklumkan kedua-dua pemain berusia 27 tahun masing-masing itu akan dilepaskan pada 1hb September kelak.

“Selepas berbincang dengan penuh teliti, kami mendengar dan menghormati keputusan mereka untuk bergerak secara bebas dan kami bersetuju untuk melepaskan mereka pada 1 September,”

“Kami mengucapkan selamat maju jaya dan khidmat mereka akan dipanggil apabila diperlukan untuk beraksi dalam tugasan negara,” katanya selepas dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis BAM pada hari ini.

Ini bermakna, Sze Fei-Nur Izzuddin akan terus berada di bawah naungan BAM sehingga selesainya kejohanan Terbuka Korea 2024 yang akan berlangsung dari 27hb Ogos hingga 1hb September.

Untuk makluman, Buletin Utama melaporkan Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-12 dunia berhasrat meninggalkan BAM bagi mengikuti jejak langkah perseorangan negara, Lee Zii Jia bernaung di bawah jenama luar.

Pada ketika ini, gandingan itu sedang beraksi dalam kejohanan Terbuka Jepun 2024 yang bertaraf Super 750.

Mereka baru sahaja mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir selepas berjaya menumpaskan beregu Indonesia yang menghuni ranking kesepuluh dunia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin pada peringkat separuh akhir, petang tadi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen