Sejarah demi sejarah ditempa oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bola sepak tempatan.
Terbaharu, kelab yang dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu berjaya merangkul gelaran kejuaraan Piala FA buat tiga kali berturut-berturut.
Kejuaraan itu hadir selepas berjaya menumpaskan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada hari ini.
Perlawanan yang dihadiri seramai 80,350 penonton itu menyaksikan JDT bimbingan Hector Bidoglio mencatatkan kemenangan dengan keputusan 6-1 menerusi jaringan oleh Juan Muniz (26’, 67’, 89′), Arif Aiman (42’), Bergson (62′) dan Heberty (76’).
Sementara itu, gol tunggal Selangor pula disumbangkan oleh pemain dari Cape Verde, Alvin Fortes (59’).
Hasil daripada kemenangan ini, JDT bukan sahaja mempertahankan gelaran juaranya dalam saingan kalah mati ini bahkan turut meraih slot automarik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2025-26.
Untuk makluman, kejuaraan hatrik dalam Piala FA ini hadir selepas skuad berjulukan Harimau Selatan muncul juara pada edisi 2023 dan 2022 dengan menumpaskan Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) masing-masing.
Sebagai rekod, antara pasukan yang terlepas peluang untuk merangkul gelaran hatrik Piala FA sebelum ini ialah Kuala Lumpur (1993, 1994), Kedah (2007, 2008) dan Kelantan (2012, 2013).
Featured Image: JOHOR Southern Tigers