Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia diberikan penghormatan sekali lagi untuk memegang hak jersi pendahulu Raja Bukit (King Of The Mountain) atau “polka dot” dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Penghormatan itu diberikan susulan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meneruskan kerjasama strategiknya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur LTdL edisi ke-28.
“Tourism Malaysia akan diberikan penghormatan sekali lagi sebagai pemegang kepada jersi pendahulu “King Of The Mountain” di mana wakil mereka akan menyarungkan jersi pemenang di setiap peringkat perlumbaan,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub.
Rashid mengulas bahawa kategori Raja Bukit masih lagi kekal sebagai jersi perlumbaan yang sangat unik dan popular di kesemua perlumbaan utama dunia seperti Tour de France (TdF).
Keunikan itu bukan sahaja disebabkan kekuatan mutlak seorang pendaki untuk menguasai bukit yang paling tinggi tetapi juga kebijaksanaan matematik pelumba di dalam mengutip peluang, meloloskan diri dari peloton untuk mencuri mata di zon-zon pendakian kecil selain dari pendakian utama.
Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata keputusan untuk bekerjasama dengan LTdL pada tahun lalu sebagai sangat tepat dan menjadi sebab Tourism Malaysia meneruskannya pada tahun ini.
“Keputusan untuk menjalin kerjasama ini dibuat berdasarkan keseluruhan pakej pulangan (ROI) yang cukup lengkap, khususnya peluang untuk mempromosikan jenama “Malaysia Truly Asia” ke seluruh dunia.
Ianya bukan sahaja merangkumi pelbagai tarikan budaya, lokasi dan pusat pelancongan tetapi turut menampilkan Malaysia sebagai negara yang makmur, maju dan progresif dalam usaha membantu kerajaan menarik minat pelaburan serta perdagangan antarabangsa.
Bersempena dengan LTdL 2024, Tourism Malaysia mengadakan kerjasama dengan enam agensi pelancongan yang menawarkan 23 pakej pelancongan khas meliputi destinasi pelancongan popular seperti Langkawi, Pulau Pinang, Melaka, Bukit Tinggi, Cameron Highlands, Kulai, Bintulu dan Miri.
Menerusi pakej ini, para pelancong bukan sahaja dapat menikmati percutian yang indah di lokasi-lokasi menarik bahkan berpeluang menyaksikan secara langsung perlumbaan berprestij LTdL yang menjelajah seluruh negara.