Sven-Goran Eriksson Meninggal Dunia Pada Usia 76 Tahun
August 26, 2024 β€’ Hafizuddin Omar

Bekas pengurus skuad kebangsaan England dari 2001 hingga 2006, Sven-Goran Eriksson meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Perkara tersebut disahkan oleh anak-anak mendiang, Lina dan Johan Eriksson menerusi satu kenyataan pada hari ini.

Dimaklumkan, Eriksson – pengurus asing pertama yang membimbing skuad berjulukan The Three Lions – menemui ajalnya di kediamannya, Bjorkfors, Sweden.

Untuk makluman, pada Januari lalu, mendiang Eriksson mendedahkan kepada umum bahawa beliau diserang kanser terminal.

Selain mengendalikan skuad England, Eriksson yang merupakan salah satu nama besar dalam dunia kejurulatihan bola sepak turut berkhidmat dengan beberapa buah kelab ternama seperti Benfica, Roma, Fiorentina, Sampdoria, Lazio, Manchester City, Leicester City dan beberapa buah kelab di China.

Selain itu, kelibatnya turut dilihat di rantau asia tenggara apabila berperanan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina dengan mengemudi skuad The Azkals dalam saingan Piala AFF 2018 dan Piala Asia 2019.

Sepanjang bergelar jurulatih, Eriksson sempat mendakap kejuaraan Serie A, Coppa Italia, Liga Portugal, Liga Sweden dan lain-lain lagi.

Featured Image: England Football Team

Komen