Klinik STL 2024 Akan Menjelajah Ke Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang & Johor

August 27, 2024
Lain-Lain

Hafiz Omar

Susulan sambutan hangat terhadap penganjuran Klinik Sepak Takraw League (STL) pada tahun lalu, Astro mengambil peluang untuk menggandakan lagi penganjuran program tersebut pada tahun ini.

Selepas menganjurkan klinik yang pertama di Sekolah Kebangsaan TTDI 1, Kuala Lumpur dengan penglibatan seramai 200 orang pelajar terpilih daripada sekolah-sekolah di daerah Wilayah Persekutuan baru-baru ini, Astro memaklumkan ianya dianjurkan pula di sekolah terpilih di Selangor, Terengganu dan Perak.

Sementara itu, dua lokasi lagi, Pulau Pinang dan Johor akan dilangsungkan menerusi penyertaan terbuka untuk kanak-kanak yang berminat menyertainya mengikut terma dan syarat penyertaan.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkongsikan bahawa sebanyak 18 peratus penonton STL adalah berumur 14 tahun ke bawah dan 43 peratus pula berumur 25 tahun ke bawah berdasarkan data penilaian penonton.

Pada masa yang sama, kehadiran penonton ke stadium untuk menyaksikan saingan STL pula adalah generasi muda dan anak-anak kecil bersama keluarga.

“Kami melihat penganjuran Klinik STL untuk generasi muda ini mampu memberi pendedahan serta menjadi platform pembangunan dan pencarian bakat untuk digilap, seterusnya melahirkan atlet berprestasi tinggi atau jaguh sukan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” kata Nicholas. 

Untuk makluman semua, selain memupuk minat dari peringkat akar umbi, Klinik STL turut diadakan bagi memberi peluang serta pengalaman berharga buat generasi muda untuk berjumpa dengan pemain-pemain profesional STL mahupun pemain kebangsaan serta memperlajari asas-asas sukan tradisi ini bersama idola-idola mereka.

Sebagai tambahan, saingan STL 2024 telah pun bermula pada 24hb Ogos lalu dan akan berlanjutan sehingga 16hb November kelak dan akan menjelajah ke beberapa buah negeri iaitu Melaka, Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd