Pemain naturalisasi skuad bola sepak kebangsaan, Endrick dos Santos tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada kelab yang disertainya secara pinjaman di Vietnam iaitu Ho Chi Minh City FC.
Pemain tengah berusia 29 tahun tersebut berhasil meledak dua gol ketika turun beraksi dalam satu kejohanan pramusim empat penjuru menentang Quy Nhon Binh Dinh, pada Isnin.
Dalam perlawanan tersebut, Endrick yang turut diberikan peranan selaku kapten menjaringkan gol seawal minit 3’ serta menghampiri penghujung waktu permainan iaitu minit 86’.
Menariknya, kedua-dua gol yang dijaringkan pemain kelahiran Brazil itu terhasil dari bahagian kanan padang.
Bagaimanapun, Ho Chi Minh City terpaksa akur tidak dapat menutup perlawanan tersebut dengan kemenangan tanpa bolos apabila pemain gantian Quy Nhon Binh Dinh berhasil meletakkan bola dalam gawang pada masa kecederaan.
Perlawanan itu juga menyaksikan Endrick yang menyarung jersi bernombor 14 beraksi penuh selama 90 minit.
Sebagai rekod, ini merupakan penampilan keduanya bersama Ho Chi Minh City sejak menyertai dan diperkenalkan oleh kelab tersebut secara rasmi pada 14hb Ogos lalu.
Untuk makluman, Ho Chi Minh City akan membuka kempen V.League 1 2024-25 dengan menentang Viettel FC di laman sendiri pada 15hb September kelak.
Featured Image: Ho Chi Minh City FC