Kongres dan sesi pemilihan bagi penggal baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dijadualkan berlangsung pada 7hb September bekemungkinan ditunda.
Ini berikutan terdapat laporan salah laku yang dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berikutan laporan tersebut, SPRM akan menjalankan siasatan dalam tempoh 14 hari bermula Isnin.
“Ada laporan kepada SPRM dan laporan SPRM itu telah dihantar, dalam masa 14 hari SPRM akan melengkapkan siasatan mereka,”
“Kalau ada kebarangkalian salah laku, maka ianya akan ditunda pemilihannya, sekiranya tidak ada salah laku, maka secara automatik 7hb September itu adalah tarikh yang telah ditetapkan untuk diadakan kongres,” kata Pemangku Presiden KLFA, Dato’ Abdullah Sani dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif KLFA, hari ini.
Oleh demikian, pengumuman calon-calon yang akan bertanding dalam sesi pemilihan pada Kongres KLFA kali ini juga tidak dapat dilakukan sehingga selesainya siasatan tersebut.
Dimaklumkan, tarikh pencalonan telah pun ditutup pada 23hb Ogos lalu.
Pada masa yang sama, Abdullah Sani yang merupakan mantan Ahli Parlimen Kapar mengesahkan bahawa sebanyak 28 kelab yang merupakan ahli gabungan KLFA layak untuk mengundi dalam sesi pemilihan itu nanti.
Untuk makluman, Kongres KLFA kali ini mendapat sambutan hangat berikutan dua Ahli Jemaah Menteri iaitu YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan YB Fahmi Fadzil menawarkan diri untuk dicalonkan bagi jawatan Presiden KLFA.
Bahkan kedua-duanya turut mengumumkan kem masing-masing yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, ahli perniagaan dan bekas pemain untuk merebut jawatan-jawatan lain.
Featured Image: Facebook Fahmi Fadzil & Facebook Nik Nazmi