Terbuka Korea: Hon Jian-Haikal Singkir Juara Terbuka Jepun Pada Pusingan 32
August 28, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang muncul juara Terbuka Jepun pada minggu lalu tersingkir awal dalam saingan Terbuka Korea yang berlangsung pada minggu ini.

Penyingkiran itu hadir susulan gandingan pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu tewas di tangan beregu senegara, Choong Hon Jian dan Haikal Nazri pada pusingan 32, hari ini.

Dalam pertarungan yang julung kalinya menemukan kedua-dua pasangan tersebut, Sze Fei-Izzuddin tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 16-21 dan 16-21 dalam tempoh masa menghampiri satu jam lamanya.

Pada masa yang sama, ini menjadi perlawanan terakhir buat Sze Fei-Izzuddin di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum bergerak secara sendirian atau bebas (independent) bermula 1hb September kelak.

Sementara itu, Hon Jian-Haikal yang melakar kemenangan dapat meneruskan kempennya dalam kejohanan ini ke pusingan 16.

Menanti mereka pada peringkat tersebut adalah gandingan tuan rumah, Choi Sol Gyu dan Heo Kwang Hee pada hari esok untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen