Tarikh Piala ASEAN 2024 Dipinda – Mula 8 Disember, Berakhir 5 Januari
August 28, 2024 Hafizuddin Omar

Saingan Piala ASEAN atau dahulunya dikenali sebagai Piala AFF bagi edisi ke-15 dipinda tarikh penganjurannya oleh penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Pada asalnya, saingan peringkat kumpulan bagi kejohanan bola sepak dwitahunan melibatkan pasukan dari rantau asia tenggara itu dijadualkan bermula 23hb November dan berakhir pada 21hb Disember.

Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan rasmi oleh penganjur pada Selasa, peringkat kumpulan bagi kejohanan terbabit dipinda dan tarikh baharunya adalah bermula 8hb Disember dan tamat pada 5hb Januari 2025.

Namun begitu, tarikh perlawanan bagi pusingan kelayakan tidak berubah dan kekal dimainkan pada 8hb dan 15hb Oktober melibatkan Brunei Darussalam dan Timor-Leste.

Selain mengumumkan pindaan tersebut, AFF turut mengeluarkan jadual perlawanan lengkap bagi kesemua pasukan.

View this post on Instagram

A post shared by ASEAN United FC (@aseanutdfc)

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia bimbingan Pau Marti yang telah diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Kemboja di tempat lawan pada 8hb Disember (Ahad).

Ianya diikuti dengan perlawanan menentang samada Brunei atau Timor Leste di tempat sendiri pada 11hb Disember (Rabu) sebelum disusuli dengan aksi menentang Thailand di tempat lawan pada 14hb Disember (Sabtu).

Aksi peringkat kumpulan itu akan dilengkapkan dengan pertembungan menentang jiran seberang tambak, Singapura di tempat sendiri pada 20hb Disember (Jumaat).

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir yang dilangsungkan secara timbal balik pada 26hb-27hb Disember dan 29hb-30hb Disember masing-masing.

Manakala perlawanan akhir, juga secara timbal balik, pula berlangsung pada 2hb dan 5hb Januari masing-masing.

Komen