Dua Dekad Bersama FC Barcelona, Dr. Xavier Kini Doktor Perunding Harimau Malaya
Hafiz Omar

Setiap kes kecederaan melibatkan pemain-pemain skuad kebangsaan sepanjang berlangsungnya kem latihan pusat kali ini bagi menghadapi Pesta Bola Merdeka 2024 akan dirujuk kepada individu yang pernah berkhidmat selama dua dekad bersama FC Barcelona iaitu Dr. Xavier Valle.
Perkembangan ini hadir susulan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan melantik Dr. Xavier selaku doktor perunding bagi skuad berjulukan Harimau Malaya, pada hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak hadir secara fizikal di Malaysia.
Untuk pengetahuan semua, Dr. Xavier bukanlah nama yang asing buat skuad bola sepak kebangsaan.
Sebelum ini, beliau sudah pernah bersama skuad Harimau Malaya sepanjang berlangsung kem latihan pusat ketika jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun 2023 semasa Malaysia bertemu Solomon Islands dan Papua New Guinea di Kuala Terengganu, Terengganu.
Sejak itu, Dr. Xavier terus bekerjasama rapat dengan skuad Harimau Malaya walaupun ketika musim bola sepak biasa berlangsung di Malaysia dengan beliau memberikan pandangannya tentang kecederaan pemain.
Sementara itu, FAM turut mengumumkan mendapatkan khidmat seorang lagi individu berlatarbelakangkan bidang perubatan dari FC Barcelona iaitu Edu Martinez.
Edu merupakan seorang ahli fisioterapi dan telah berkhidmat selama 12 tahun bersama skuad berjulukan La Blaugrana terbabit.
FAM memaklumkan Edu telah tiba di Kuala Lumpur pada Selasa (27hb Ogos) dan akan menyertai skuad Harimau Malaya sebagai ahli fisioterapi pasukan dan akan bekerjasama dengan ahli fisioterapi FAM, Mohamad Harris Zafran Ahmad Harman bagi sesi terapi dan pemulihan kecederaan pemain-pemain di sepanjang kem latihan kali ini.
Kem latihan kali ini akan bermula pada Khamis (29hb Ogos) dimana ianya merupakan sesi latihan pusat yang pertama akan dikendalikan oleh Pau Marti selaku Pemangku Ketua Jurulatih sambil dibantu oleh Juan Torres Garrido sebagai Penolong Ketua Jurulatih.