Solidariti dan sokongan yang pernah ditunjukkan oleh para peminat bola sepak tempatan bersama kelab masing-masing terhadap rakyat Palestin mendapat perhatian salah seorang anggota skuad kebangsaan negara berkenaan, Mohammed Rashid.
Pemain tengah bertahan bersama Persebaya Surabaya di Liga 1 Indonesia yang lahir di Ramallah dan berusia 29 tahun ini menyatakan pernah melihat sokongan tersebut yang ditonjolkan oleh para peminat Selangor FC dan Terengganu FC.
Solidariti daripada para penyokong Selangor FC atau nama julukannya, Gergasi Merah baru sahaja ditunjukkan menerusi satu tifo yang dinaikkan ketika pasukan kesayangan mereka berentap menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Sabtu lalu.
Manakala Terengganu FC pula mengajak para peminat dan penyokongnya bersolidariti dengan mengadakan kempen membawa bendera Palestin untuk dikibarkan di dalam Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSZMA) semasa perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Malaysia 2023.
“Sejujurnya saya telah melihat (sokongan yang diberikan) dalam Liga Malaysia, saya lihat (sokongan dari) Selangor FC, saya lihat (sokongan dari) Terengganu FC sebelum ini, saya (juga) telah melihat banyak kelab (bola sepak_ berikan sokongan dan cintakan Palestin,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pertamanya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.
Solidariti dan sokongan tersebut membuatkan Rashid melihat kem latihan pusat dan venue perlawanan bagi Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 bertempat di Kuala Lumpur ini bagaikan ‘rumah pertamanya’ sendiri.
Untuk makluman, Malaysia dipilih sebagai “home ground” atau venue berkecuali oleh Palestin yang menghuni ranking ke-96 dunia berikutan negaranya yang berada dalam konflik peperangan terutamanya di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
Bukan sahaja berlatih dan diberikan Stadium Cheras sebagai gelanggang buat Palestin, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlawanan mereka dari segi operasi dan teknikal sejak mereka tiba di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Untuk makluman, Palestin akan menjalani latihan di Kuala Lumpur selama lima hari sebelum terbang ke Seoul untuk menentang Republik Korea pada 5hb September.
Selepas itu, skuad bimbingan Makram Daboud akan kembali ke Kuala Lumpur untuk menghadapi satu lagi perlawanan menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 10hb September.
Featured Image: Terengganu FC