Pasukan yang menghuni ranking ke-161 dunia, Singapura tidak mengatur sebarang pertemuan dengan mana-mana negara lain semasa jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 2hb hingga 10hb September.
Sebaliknya, skuad bimbingan Tsutomu Ogura terbabit mengatur untuk bertemu dua kelab bola sepak iaitu BG Tampines Rovers (Singapura) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru sahaja menjuarai Piala FA 2024-25 pada tempoh berkenaan.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan, kedua-dua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 6hb dan 7hb September masing-masing.
Difahamkan, pendekatan itu diambil Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berikutan ketiadaan lawan yang sesuai selain ketua jurulatih dari Jepun yang dilantik pada 1 Februari lalu itu memerlukan masa berlatih yang lebih.
Perkembangan ini menyaksikan pemain tengah, Hariss Harun yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan kali ini akan bertemu semula dengan bekas pasukannya yang berjulukan Harimau Selatan.
Selain itu, pertahanan merangkap kapten pasukan Selangor FC, Safuwan Baharudin turut disenaraikan untuk mengikuti kem latihan pusat skuad The Lions bagi berhadapan dua kelab tersebut.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers