Pesta Bola Merdeka: Filipina Hilang Ketua Jurulatih 6 Hari Sebelum Lawan Malaysia
August 29, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad yang menghuni ranking ke-147 dunia, Filipina dilihat tempang menuju ke saingan Pesta Bola Merdeka 2024.

Ini susulan Filipina atau skuad berjulukan The Azkals itu memaklumkan ketua jurulatihnya, Tom Saintfiet meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Perletakan jawatan itu dibuat selepas enam bulan memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina – dilantik pada hujung Februari lalu.

View this post on Instagram

A post shared by Philippine Men's National Football Team (@pmnft_official)

Makluman itu dikongsikan oleh Pengarah Skuad Senior Kebangsaan Filipina, Freddy Gonzalez menerusi satu kenyataan rasmi, pada hari ini.

Rupa-rupanya pemakluman perletakan jawatan itu hadir berikutan Persekutuan Bola Sepak Mali mengumumkan Tom yang berusia 51 tahun dari Belgium sebagai ketua jurulatih baharu mereka.

View this post on Instagram

A post shared by Fédération malienne de football (@femafoot_officiel)

Sebagai rekod, Tom merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Gambia dari 2018 hingga 2024 sebelum berkhidmat di Filipina.

Pada ketika ini, Filipina sedang memulakan penilaian terhadap calon-calon untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tom bagi menghadapi Pesta Bola Merdeka dan juga Piala ASEAN pada Disember kelak.

Bagi saingan Pesta Bola Merdeka, Filipina akan memulakan kempennya dengan menentang tuan rumah, Malaysia bimbingan Pau Marti pada 4hb September di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Featured Image: Philippine Men’s National Football Team

Komen