Kem latihan skuad kebangsaan kali ini sepatutnya turut disertai oleh pemain kelahiran Amerika Syarikat berketurunan Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal.
Bagaimanapun, ianya tidak dapat direalisasikan berikutan pemain tengah berusia 25 tahun tersebut mengalami kecederaan.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin dalam sesi sidang media di Wisma FAM, pada hari ini.
“Dia telah menghubungi saya beberapa bulan lalu tetapi nasib tidak baik dia sedang alami kecederaan,”
“Insya-Allah apabila dia pulih, dia dapat datang dan akan dapat pasport, dia akan main untuk Malaysia, dia dah bagitahu perkara ini beberapa kali apabila menelefon saya,” katanya.
Pada ketika ini, Wan Kuzain yang mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian tengah beraksi bersama pasukan simpanan, St. Louis City 2 dalam kancah MLS Next Pro.
Sebelum ini, Wan Kuzain sudah pernah mengikuti kem latihan skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Bagaimanapun, Wan Kuzain tidak dapat dibawa untuk membarisi skuad berjulukan Harimau Muda untuk beraksi di temasya dwitahunan tersebut berikutan masalah dokumentasi untuk permohonan pasport Malaysia.
Featured Image: Wan Kuzain Instagram