AWCL 2024-25: Sabah Sertai Kumpulan A, Sah Raih AS$100,000

September 2, 2024
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan bola sepak wanita Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024-25.

Kejayaan itu terbit susulan skuad bimbingan Justin Ganai berhasil melakar kemenangan ke atas juara lima kali Liga Uzbekistan, PFC Nasaf dalam perlawanan akhir peringkat kelayakan, pada Sabtu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas dengan kehadiran 3,683 penonton itu menyaksikan Sabah melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan berganda dari Myanmar, Win Theingi Tun pada babak pertama.

Pada babak kedua, PFC Nasaf berhasil menjaringkan satu gol namun kekentalan Sabah bertahan hingga pengadil perlawanan meniupkan wisel menamatkan permainan memastikan tempat mereka dalam kejohanan peringkat asia yang julung kalinya dianjurkan itu.

Kemenangan itu membolehkan Sabah mengumpul empat mata dan muncul juara Kumpulan C peringkat kelayakan AWCL 20242-5 selepas seri menentang wakil Nepal, APF FC pada perlawanan pertama. 

Pada peringkat kumpulan kelak, Sabah mengisi Kumpulan A bersama-sama Wuhan Jiangda (China), Hyundai Steel Red Angles Women’s FC (Korea) dan Abu Dhabi Country Club (UAE). 

Saingan peringkat Kumpulan A ini akan dilangsungkan secara berpusat di China dengan Wuhan Jiangda Women’s FC selaku hos bermula 6hb hingga 12hb Oktober.

Sepertimana diumumkan oleh penganjur, mana-mana kelab yang mara ke peringkat kumpulan akan diberikan wang tunai sebanyak AS$100,000 atau bersamaan sekitar RM431,000.

Featured Image: Sabah Football Association Women’s Team

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd