Pemain tengah kelahiran Nigeria yang mempunyai pasport Bahrain, Habib Haroon tidak lagi beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia.
Ini selepas pemain berusia 23 tahun terbabit mencapai persetujuan dengan kelabnya, Kedah Darul Aman FC (Kedah) untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Dimaklumkan, penamatan kontrak itu adalah disebabkan Habib mempunyai komitmen peribadi di Bahrain – difahamkan menyertai sebuah kelab di negara tersebut.
Penamatan itu hadir selepas Habib menyertai Kedah sekitar lima bulan sahaja – diperkenalkan penghujung Mac lalu.
Sepanjang tempoh itu, Habib yang merupakan arkitek dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Nafuzi Zain tampil sebanyak sebelas kali selain menyumbangkan satu bantuan gol.
Sebagai rekod, Habib mula tiba di Malaysia pada pertengahan tahun 2021 ketika berusia 20 tahun dengan menyertai Terengganu FC yang ketika itu turut dibimbing oleh Nafuzi.
Bersama skuad berpangkalan di pantai timur itu, Habib memaikan peranan penting membantu Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dan muncul naib juara Liga Super 2022.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC