Skuad kebangsaan Filipina yang menghuni ranking ke-147 dunia memanggil 23 pemain menghadapi Pesta Bola Merdeka 2024 yang berlangsung pada 4hb dan 8hb September kelak.
Filipina telah diundi untuk menentang hos, Malaysia pada perlawanan pertama dan akan menentang samada Lubnan atau Tajikistan pada perlawanan berikutnya bergantung kepada keputusan pada Rabu nanti.
Berdasarkan senarai tersebut, skuad berjulukan The Azkals kendalian ketua jurulatih sementara, Norman Fegidero turut diperkuatkan dengan tujuh orang pemain yang beraksi dalam kancah bola sepak di luar rantau ASEAN.
Berikut adalah senarai tujuh pemain-pemain tersebut:
#1 Bjørn Martin Kristensen
Bjørn yang berusia 22 tahun merupakan penyerang Aalesund – kelab dalam divisyen kedua Norway. Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter ini bukan sahaja boleh beraksi selaku penyerang tengah bahkan sebagai penyerang kedua dan pemain sayap kanan. Bjørn kelahiran Norway telah menyertai kelab ini sejak 2022 dan telah merekodkan 46 penampilan bersamanya. Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Bjørn dipanggil sertai skuad kebangsaan Filipina.
#2 Matthews Baldisimo
Matthews pernah dipanggil sebelum ini namun belum melakukan debut bersama skuad kebangsaan Filipina. Pemain yang lahir di Kanada dan berusia 26 tahun ini merupakan seorang pemain tengah bertahan yang turut boleh beraksi sebagai pertahanan tengah. Pada saat ini, Matthew yang mempunyai ketinggian 1.73 meter merupakan pemain York United yang bertanding dalam kancah tertinggi bola sepak Kanada.
#3 Dylan Demuynck
Ketiganya, Filipina menyenaraikan seorang pemain sayap kiri yang lahir di Belgium iaitu Dylan Demuynck. Pemain ini baru sahaja menjejaki usia 20 tahun pada Mei lalu dan beraksi bersama Zulte Waregem dalam divisyen kedua bola sepak Belgium. Berdasarkan rekod, pemain berketinggian 1.66 meter ini telah merekodkan dua penampilan bersama The Azkals.
#4 Alex Monis
Lahir di Amerika Syarikat dan kini berusia 21 tahun, Alex Monis merupakan pemain pasukan simpanan, New England Revolution II yang bersaing dalam kancah MLS Next Pro – liga simpanan atau liga pembangunan Amerika Syarikat. Beraksi di posisi sayap kanan, Alex yang memiliki ketinggian 1.71m ini sudah mencetak dua penampilan bersama skuad kebangsaan Filipina.
#5 Michael Baldisimo
Michael Baldisimo merupakan adik kepada Matthew Baldisimo. Berbeza dengan abangnya yang beraksi di Kanada, Michael yang berusia 24 tahun bermain bersama San Jose Earthquakes dalam kancah MLS selaku pemain tengah bertahan. Selain itu, Michael juga telah merekodkan empat penampilan bersama Filipina – berbeza berbanding abangnya yang baru sahaja mendapat panggilan pada kali ini.
#6 Paul Tabinas
Antara pemain lain yang beraksi di luar rantau asia tenggara dipanggil untuk memperkuatkan skuad Filipina ialah Paul Tabinas. Pemain yang beraksi sebagai bek kanan ini lahir di Tokyo, Jepun dan kini berusia 22 tahun. Paul memulakan kariernya di Jepun namun kini telah melebarkan sayapnya ke benua eropah dengan beraksi bersama NK Vukovar 1991 yang mengambil bahagian dalam divisyen kedua Croatia. Sebelum ini, Paul telah tampil sebanyak lima kali bersama skuad Filipina.
#7 Adrian Ugelvik
Tidak ketinggalan untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan Filipina pada kali ini ialah Adrian Ugelvik yang beraksi di Norway bersama Lavenger. Adrian yang lahir di negara tersebut dan kini berusia 22 tahun merupakan seorang pertahanan tengah. Dia kini mempunyai rekod dua penampilan bersama Filipina – turun beraksi menentang Vietnam dan Indonesia pada Jun lalu.