Tak Kisah Balang 1 Atau 2 Undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027 – Hamidin
September 2, 2024 โ€ข Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin merasakan sukar buat skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya untuk menempatkan diri dalam Balang 1 menjelang undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027.

Ini berikutan pendahulu Balang 2, Malaysia yang menghuni ranking ke-134 dunia berbeza sebanyak 31.81 mata dengan India yang berada pada ranking ke-124 dunia merangkap penghuni terakhir Balang 1 pada saat ini.

Hamidin yang juga merupakan Ahli Majlis FIFA melihat perbezaan mata sebanyak itu sesuatu yang sukar untuk dipintas oleh Malaysia dengan beraksi dalam enam perlawanan antarabangsa pada jendela FIFA bulan September, Oktober dan November 2024.

Pada masa yang sama, Hamidin turut menegaskan kemasukan Malaysia bimbingan Pau Marti selaku Pemangku Ketua Jurulatih ke dalam Balang 1 menjelang sesi undian tersebut tidak menjadi keutamaannya namun menganggap ianya umpama โ€˜bonusโ€™ sekiranya berlaku.

โ€œSaya ingat susah kerana kita dengan India (beza) 30 mata, mungkin susah, bagi saya, saya tak kejar itu, saya tak kisah itu (samada) Pot 1 atau Pot 2, yang penting you (awak) kena improve (tingkatkan) performance (prestasi) pasukan dan mesti mendapat mata untuk ranking semaksimum yang mungkin,โ€

โ€œKalau ada dapat mungkin bagus, tapi saya rasa tough (sukar) sikit,โ€ katanya ketika ditemui dalam sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Sebelum menghadapi sesi undian tersebut, Malaysia telah akan berhadapan Filipina serta Tajikistan atau Lubnan dalam saingan Pesta Bola Merdeka pada Jendela FIFA bulan September.

Manakala untuk Jendela FIFA bulan Oktober, Malaysia telah mengesahkan pertemuan dengan New Zealand pada 14hb Oktober. Satu lagi perlawanan pada bulan tersebut serta dua aksi pada November akan dikongsikan kepada para peminat kelak.

Sebelum ini, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, selepas gagal membawa Malaysia mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 mengalih tumpuannya untuk membimbing Malaysia layak ke pentas Piala Asia sekali lagi.

Akan tetapi, sebelum berlangsungnya sesi undian bagi pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027 pada Disember kelak, Pan-gon memaklumkan Malaysia perlu meningkatkan ranking dunianya dan berada dalam Balang 1.

Perkara ini dianggapnya sebagai mustahak supaya dapat meningkatkan peluang Malaysia untuk muncul juara kumpulan pada pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2027.

Dalam sidang media khas itu, Hamidin turut menjangkakan skuad Harimau Malaya dapat menempatkan diri dalam linkungan ranking 120-an dunia.

Featured Image: Nasir Yazid, Football Association of Malaysia

Komen