PM Umum Peruntukan RM15 Juta, Tunku Ismail Beri Bayangan Harimau Malaya Bakal ‘Diswastakan’? 
September 3, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya menerima durian runtuh apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Dimaklumkan RM10 juta datangnya daripada kerajaan menerusi Kementerian Kewangan manakala baki RM5 juta lagi merupakan tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.

Pengumuman itu dilakukan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan pada hari ini.

Anwar yang juga peminat kelab dalam saingan Liga Perdana (PL), Manchester United berkata peruntukan itu diberikan khusus kepada skuad kebangsaan bagi menjadi salah satu pasukan gergasi di asia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut Anwar, salah seorang pegawai kanan daripada Kementerian Kewangan untuk memantau pemberian peruntukan kewangan itu dan memastikan urusan kewangan skuad kebangsaan teratur.

Tambahnya lagi, satu perbincangan akan diadakan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas beliau pulang daripada lawatan kerja ke Rusia. 

Sejurus sahaja pengumuman terbabit, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail memuat naik dokumen mengenai “Strategi Skuad Kebangsaan”.

Dokumen yang dimuat naik oleh Tunku Ismail menerusi akaun Instagram peribadinya itu dilihat bagaikan skuad Harimau Malaya bergerak secara berasingan atau bersendirian dengan pihak pengurusannya yang tersendiri.

Ianya turut mengandungi carta organisasi yang akan dipimpin oleh seorang Ketua Pegawai Bola Sepak (CSO) atau Pengarah Teknikal.

Dibawahnya pula adalah Pengarah Kejurulatihan, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategi & Penilaian serta Ketua Sumber Manusia.

Menerusi muat naik itu juga, Tunku Ismail meletakkan tarikh 15hb Disember 2024 tanpa sebarang penerangan mengenainya.

Pada 23hb Ogos lalu, sehari sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala FA 2024-25, Tunku Mahkota Ismail telah menerima mengadap Anwar bagi membincangkan pelbagai isu-isu terkini termasuk berkaitan bola sepak Malaysia dan inisiatif-inisiatif untuk memperkukuhkan sukan tersebut.

Untuk makluman semua, pada saat ini, skuad kebangsaan Harimau Malaya berada di bawah tanggungjawab dan seliaan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan-pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin.

Featured Image: HRH Crown Prince of Johor

Komen