
Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou berjaya mempertahankan pingat emas Paralimpik bagi kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) sekaligus menyumbangkan pingat emas pertama buat Kontinjen Malaysia di Paralimpik Paris 2024.
Atlet berusia 36 tahun terbabit berhasil meraih kilauan pingat itu selepas berjaya menumpaskan pemain Indonesia, Suryo Nugroho secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15.
Pertembungan di Porte de La Chapelle Arena sekitar tengah malam tadi itu berlangsung dalam tempoh 42 minit.
Sekitar tiga tahun lalu, Liek Hou membutirkan pingat emas Paralimpik pertamanya dengan menumbangkan Dheva Anrimusthi yang juga dari Indonesia menerusi skor 21-17 dan 21-15.
Sementara itu, seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Fareez Anuar terlepas peluang untuk menuai tambahan pingat gangsa apabila tewas kepada Dheva yang merupakan pemenang pingat perak Paralimpik 2020.
Fareez yang membuat penampilan sulung di temasya Paralimpik tewas aksi penentuan pingat gangsa itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 19-21 dan 12-21 dalam tempoh 73 minit.
Sebagai tambahan, ini merupakan pingat kedua dikutip Kontinjen Malaysia selepas Eddy Bernard menyumbang pingat gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di Stade de France, Paris pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).
Featured Image: Paralympic Council of Malaysia