Ranking BWF: Pearly-Thinaah Kembali Dalam Kelompok 8 Terbaik
Hafiz Omar

Kejayaan muncul naib juara Terbuka Korea 2024 pada minggu lalu berhasil meletakkan kembali Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam kelompok lapan beregu wanita terbaik dunia.
Gandingan pemain berusia 24 dan 26 tahun masing-masing itu kembali menduduki tangga kelapan dunia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini pada Selasa.
Kenaikan itu disumbangkan oleh pertambahan 7,800 mata yang mereka kutip daripada saingan Terbuka Korea yang bertaraf Super 500 sekaligus menjadikan Pearly-Thinaah kini mempunyai 69,583 mata secara keseluruhan.
Sebagai rekod, kali terakhir Pearly-Thinaah dilihat menduduki tangga kelapan dunia adalah sekitar satu tahun dan empat bulan lalu iaitu 24hb April 2023.
Sementara itu, beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kekal berada di tangga kesembilan dunia biarpun berjaya muncul juara di Terbuka Korea 2024.
Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran juara tersebut selepas berhasil menumpaskan beregu China, Guo Xin Wa dan Li Qian menerusi skor 17-21, 21-13 dan 21-13 dalam perlawanan akhir yang berlangsung Ahad lalu.
Pertambahan sebanyak 9,200 mata masih tidak dapat mendekati apatah lagi memintas kedudukan pasangan yang menghuni ranking kelapan dunia, Tang Chung Man-Tse Ying Suet yang mempunyai 77,100 mata secara keseluruhan.
Sebagai perbandingan, Tang Jie-Ee Wei kini mengumpul 69,890 mata.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia