Pesta Bola Merdeka: Juara Bertahan Tumbang, Lubnan Ke Final
September 4, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-103 dunia, Tajikistan gagal mempertahankan kejuaraan Pesta Bola Merdeka yang dimenanginya pada edisi lalu.

Ianya berikutan skuad yang dikendalikan oleh Gela Shekiladze terpaksa akur tumpas di tangan pasukan yang julung kalinya menyertai saingan ini, Lubnan dalam perlawanan pertama yang berlangsung petang tadi.

Pasukan di tangga ke-116 dunia itu turut diperkuatkan oleh dua bekas pemain, Liga Malaysia iaitu Rabih Ataya dan Khalil Khamis berjaya menumpaskan Tajikistan dengan keputusan 1-0.

Kemenangan itu disumbangkan oleh tandukan Jihad Ayoub pada minit ke-13 hasil “assist” menerusi sepakan penjuru yang diambil oleh Rabih Ataya.

Biarpun tiada sebarang tambahan jaringan selepas daripada saat itu, kedudukan itu sudah memadai untuk mengesahkan tempat buat Lubnan ke perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka Edisi Ke-43.

Lubnan akan menantikan samada tuan rumah, Malaysia atau Filipina di pentas akhir bagi merebut gelaran juara manakala Tajikistan pula akan ke perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Komen