Pesta Bola Merdeka: Malaysia Atasi Skuad ‘Tempang’ Dengan Keputusan 2-1
September 4, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berhasil mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024.

Kemaraan skuad berjulukan Harimau Malaya bimbingan ketua jurulatih pemangku, Pau Marti itu hadir susulan mencatatkan kemenangan ke atas Filipina dengan keputusan 2-1.

Kemenangan yang tercatat di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu hasil jaringan oleh Syamer Kutty Abba pada minit ke-43 dan sepakan penalti oleh Safawi Rasid pada minit ke73.

Sementara itu, Filipina yang menyertai kejohanan ini dalam keadaan ‘tempang’ ditinggalkan oleh ketua jurulatihnya enam hari lalu memperoleh gol tunggal melalui Jefferson Tabinas pada minit ke-27.

Dengan kemenangan ini, Malaysia akan turun berentap menentang Lubnan untuk merebut gelaran juara Pesta Bola Merdeka Edisi Ke-43 pada Ahad nanti.

Lubnan mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara bertahan, Tajikistan dengan kemenangan 1-0 pada petang tadi.

Sementara itu, Filipina bimbingan ketua jurulatih sementara, Norman Fegidero akan bertemu Tajikistan pada Ahad ini untuk perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen