Bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Ganti Stuart Sebagai CEO MFL
September 5, 2024 Hafizuddin Omar

Penganjur saingan bola sepak domestik tanah air, Malaysian Football League (MFL) mendapat ‘bos’ baharu iaitu Giorgio Pompili Rossi.

Menerusi satu kenyataan media, Giorgio yang dahulunya berperanan sebagai Delegasi LaLiga di Malaysia dari tahun 2017 hingga 2021 telah diumumkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu.

Pengumuman itu hadir selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju untuk melantik Giorgio dalam satu mesyuarat yang diadakan pada hari ini sekaligus menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontraknya pada 31hb Ogos lalu.

Untuk makluman, perlantikan ini menyaksikan Giorgio menjadi CEO pertama yang dilantik dalam kalangan individu dari luar negara.

Ketika berperanan sebagai Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama Liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol dalam kalangan peminat di negara ini.

Selain itu, Giorgio turut terlibat dalam memberikan buah fikiran atau menjadi penasihat kepada MFL dalam menyediakan Next50 Strategic Blueprint 2021-2070.

Sebelum dilantik sebagai CEO MFL pada hari ini, beliau berpangkalan di Bangkok, Thailand selaku Delegasi LaLiga ke Thailand, Laos, Kemboja dan Myanmar dari Julai 2021 hingga Ogos 2024.

Pada awal kariernya sekitar 2013, Giorgio menyertai sebuah agensi komersial yang membantu kelab-kelab Serie A di Itali seperti Inter Milan, AC Milan, SS Lazio, Fiorentina dan lain-lain lagi untuk mendapatkan klien-klien baharu.

Featured Image: Linkedin Giorgio Pompili Rossi

Komen