Skuad footgolf Malaysia mensasarkan untuk bergelar ‘Raja’ footgolf bagi benua asia dengan menjuarai Kejohanan Footgolf Piala Asia 2024 yang akan berlangsung dari 23hb hingga 27hb September kelak.
Gelaran itu akan direbut oleh Malaysia selaku tuan rumah bersama-sama lima buah lagi pasukan iaitu Jepun, China, Chinese Taipei, Korea dan Australia bertempat di The Els Club Desaru, Johor.
Mohd Fahmi Hatta selaku ketua pasukan bagi skuad footgolf Malaysia yakin dengan kemampuan pasukan yang telah berlatih sejak beberapa bulan lalu.
Tambahnya lagi, pemain-pemain semakin mengenali kekuatan dan kelebihan setiap rakan sepasukan dan perkara ini penting sebagai persiapan untuk menghadapi acara berpasukan berdepan pasukan pilihan seperti China dan Jepun.
Sementara itu, seorang lagi pemain, Hanif Miswan menyifatkan skuad negara pada kali ini sebagai menarik kerana mengadunkan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa dan mempunyai ranking yang tinggi di peringkat dunia dan asia.
Kejohanan yang dibawakan oleh penaja utama, MicroLEAP – sebuah syarikat yang menawarkan pembiayaan P2P patuh syariah – akan mempertandingkan acara individu melibatkan tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Lelaki Senior dan Terbuka Wanita.
Skuad footgolf negara mensasarkan untuk menjuarai ketiga-tiga kategori tersebut bagi memastikan gelaran ‘Raja’ footgolf asia menjadi milik Malaysia.
Pada tahun lalu, skuad footgolf negara berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia pada Kejohanan Footgolf Piala Dunia 2023 di Orlando, Amerika Syarikat.