
Perseorangan lelaki muda negara, Justin Hoh melakar pencapaian baharu dalam kariernya apabila melangkah ke peringkat suku akhir buat julung kalinya dalam salah satu siri kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300.
Pemain berusia 20 tahun melangkah ke peringkat tersebut apabila berjaya menumpaskan pemain Indonesia, Yohanes Saut Marcellyno pada pusingan 16 Terbuka Taipei, hari ini.
Dalam pertarungan tersebut, Justin melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-9 dan 21-14 dalam tempoh masa hampir satu jam lamanya.
Kemenangan itu bukan sahaja membolehkan Justin melakar pencapaian baharu dalam kariernya bahkan membalas dendam terhadap kekalahannya ketika bertemu Yohanes buat pertama kalinya di Kejohanan Remaja Finland 2021.
Pada peringkat seterusnya, cabaran besar menanti Justin apabila terpaksa berhadapan dengan pemain tuan rumah yang pernah menduduki ranking kedua dunia, Chou Tien Chen.
Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Justin akan turun berentap menentang Chou yang juga merupakan pilihan pertama bagi kejohanan ini.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia