Stadium yang menjadi gelanggang buat pasukan Sri Pahang FC iaitu Stadium Darul Makmur, Kuantan bukan sahaja akan mempunyai permukaan rumput baharu yang menggunakan rumput berbilah halus jenis Bermuda.
Bahkan stadium yang dirasmikan pada 30hb September 1973 dan menyambut ulang tahun ke-50 pada 2023 lalu akan turut dilengkapi dengan ‘corporate box’ atau bilik eksklusif.
Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan NGO Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur telah mengenal pasti satu ruang khas untuk diubahsuai bagi tujuan berkenaan.
Jelasnya, ruang itu dibina bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan keselesaan optimum kepada mereka yang bercitarasa tinggi untuk menonton sesuatu perlawanan bola sepak atau kejohanan olahraga.
“Bilik eksklusif ini akan dilengkapi dengan penghawa dingin, tempat duduk yang selesa, ruang makan, smart TV serta ruang mesyuarat kecil.”
“Penyediaan Bilik Eksklusif ini akan menjadi salah satu punca pendapat baru kepada Perbadanan Stadium Darul Makmur.” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong ketika menjawab soalan mengenai usaha pemodenan Stadium Darul Makmur dalam Sidang DUN, pada Khamis.
Sementara itu, Fadzli memaklumkan kos menaiktaraf padang di Stadium Darul Makmur menukar rumput jenis “cow grass” kepada jenis Bermuda, penambahbaikan sistem pengairan padang dan sistem siraman (sprinkler) menelan belanja sebanyak RM1.6 juta.
Jumlah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta daripada Kerajaan Negeri Pahang manakala RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Memandangkan kerja-kerja menaik taraf padang dilakukan pada tahun ini, Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sebagai gelanggang rasmi atau “home” untuk saingan Liga Malaysia 2024-25.
Featured Image: Facebook Perbadanan Stadium Darul Makmur