Tiket Palestin vs Jordan Di Stadium Cheras Mula Dijual – RM40 Tempat Duduk Terbuka
September 6, 2024 Hafizuddin Omar

Tiket bagi pertembungan melibatkan Palestin yang menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai gelanggang rasmi atau “home” menentang Jordan bagi Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 10 September sudah mula dijual.

Peminat-peminat yang berminat untuk menonton atau memberikan sokongan kepada samada kepada Palestin mahupun Jordan boleh melakukan pembelian secara atas talian menerusi laman sesawang www.tickethotline.com.my bermula hari ini.

Tinjauan terhadap penjualan di laman sesawang tersebut menyaksikan hanya tiket bagi tempat duduk terbuka dewasa dan kanak-kanak sahaja yang dijual.

Tanda harga tiket tersebut adalah RM40 atau RM44.29 bagi dewasa termasuk caj pemprosesan dan lain manakala RM8 atau RM8.60 termasuk caj berkaitan untuk kanak-kanak.

Tiada penjualan tiket bagi tempat duduk “grandstand” atau pentas utama dibuka oleh laman sesawang tersebut pada ketika ini.

Untuk makluman semua, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dipilih sebagai venue perlawanan dan kem latihan buat Palestin kendalian Makram Daboud berikutan konflik peperangan di tanah air mereka.

View this post on Instagram

A post shared by #AsianCup2023 (@afcasiancup)

Semalam, Palestin memulakan kempen Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 peringkat Kumpulan B dengan mengikat Republik Korea yang turut diperkuatkan dengan kehadiran Son Heung-min tanpa jaringan di Stadium Piala Dunia Seoul.

Manakala Jordan yang turut dibarisi pemain-pemain Selangor FC, Noor Al Rawabdeh dan Ali Olwan diikat 1-1 pasukan ranking 136 dunia, Kuwait di tempat sendiri iaitu Stadium Antarabangsa Amman.

Sebagai tambahan, sepak mula perlawanan Palestin dan Jordan pada Selasa depan dijadualkan pada jam 10 malam.

Komen