Pesta Bola Merdeka: Pemain Terengganu & KL City Jadi ‘Perisik’ Lubnan
September 7, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menghuni ranking ke-116 dunia, Lubnan bimbingan Miodrag Radulovic dari Montenegro menggunakan segala ‘kabel’ yang ada untuk ‘mengorek’ maklumat mengenai skuad Malaysia yang akan ditentangnya dalam perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024.

Ini termasuk mendapatkan maklumat daripada rakan senegaranya yang bermain di Liga Malaysia pada ketika ini iaitu Argzim Redzovic dan Adrijan Rudovic yang beraksi bersama Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) masing-masing.

Tidak terhenti setakat itu, jurulatih berusia 56 tahun tersebut turut mendapatkan maklumat tambahan daripada dua pemainnya yang pernah beraksi dalam kancah Liga Malaysia iaitu Rabih Ataya dan Khalil Khamis.

Rabih pernah menyarung jersi UiTM FC dan Kedah Darul Aman FC (dahulunya dikenali sebagai Kedah) dari musim 2020 hingga 2021 manakala Khalil pula berkelana seketika bersama Sri Pahang FC (sebelum ini dikenali sebagai Pahang) pada musim 2020. 

“Sudah tentu saya menggunakan beberapa maklumat daripada mereka tetapi saya juga mengumpulkan maklumat daripada rakan saya dari Montenegro (iaitu) Redzovic dari Terengganu dan Adrijan Rudovic dari Kuala Lumpur,” katanya ketika dalam sidang media di Subang pada hari ini.

Difahamkan antara maklumat yang diperoleh terutamanya daripada Argzim dan Adrijan mengenai skuad bola sepak Malaysia, kualiti Harimau Malaya dan kemampuan beberapa pemain tanpa menamakannya secara spesifik.

Pada masa yang sama, Radulovic yang pernah membimbing Lubnan dari 2015 hingga 2019 turut menyifatkan skuad Harimau Malaya dibarisi dengan pemain naturalisasi dan berdarah campuran sebagai kuat dan berkualiti.

Beliau menjangkakan perlawanan yang sukar pada hari esok namun menyatakan para pemainnya telah bersiap sedia daripada segala sudut untuk menghadapinya.

Ketika mengemudi Lubnan menghadapi Malaysia sebelum ini, Radulovic mengalami kekalahan 1-2 pada perlawanan yang berlangsung pada 2017 dan melakar kemenangan 2-1 pada aksi pada tahun 2018 dalam Kelayakan Piala Asia 2019.

Komen