Presiden FAM Kini Bergelar Tan Sri, Kurniaan YDP Agong
September 7, 2024 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin kini bergelar Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin.

Gelaran itu hadir susulan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) dalam Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara, pada hari ini.

Lima lagi individu yang turut dikurniakan PSM bersama-sama Hamidin adalah Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Azizi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal.

Penerima lain adalah Pengerusi Kumpulan CIMB Group Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Majid.

Untuk makluman, ini merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran pertama yang disempurnakan Baginda selepas ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada 20h Julai lalu.

Komen