Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria secara rasminya memegang jawatan sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Zon Asia Tenggara.
Perkembangan itu hadir selepas Perhimpunan Agung OCA Kali Ke-44 di New Delhi, pada hari ini, mengesahkan Norza menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut.
Perkara tersebut turut disahkan oleh MOM dan mendapat ucapan tahniah daripada Timbalan Presiden MOM merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin.
“Pemilihan Tan Sri Norza adalah bukti jelas keteladanan kepimpinan dan dedikasi tidak berbelah bahaginya terhadap kemajuan pergerakan Olimpik, bukan sahaja di Malaysia tetapi merentasi benua asia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perhimpunan yang sama, OCA turut mengesahkan perlantikan presiden baharu iaitu Raja Randhir Singh dari India – turut menang tanpa bertanding.
Untuk makluman semua, Individu yang dilantik pada Pemilih Agung OCA hari ini akan memegang jawatan ini dari 2024 hingga 2028.