Seramai 32,540 penonton direkodkan turun menyaksikan Malaysia beraksi dalam saingan Pesta Bola Merdeka 2024 biarpun berhadapan dengan tindakan boikot oleh kumpulan-kumpulan penyokong pergerakan ultras.
Rekod kehadiran tersebut tercatat dalam laporan Rumusan Perlawanan dimana 15,800 orang turun ketika Malaysia menghadapi Filipina pada perlawanan pertama pada Rabu.
Sementara itu, aksi Malaysia menumpaskan Lubnan pada perlawanan akhir semalam sekaligus bergelar juara Pesta Bola Merdeka Edisi Ke-43 pula merekodkan kehadiran 16,650 orang.
Laporan Rumusan Perlawanan dikongsikan kepada pihak media selepas selesai kedua-dua perlawanan terbabit.
Bagaimanapun, satu kepelikan dibuat oleh penganjur, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila tidak mengumumkan angka kehadiran penonton ketika menghampiri penghujung permainan sepertimana amalan kebiasaan sebelum ini.
Beberapa jam sebelum perlawanan menentang Filipina, media melaporkan jumlah tiket terjual bagi aksi tersebut sekitar 2000 hingga 3000 keping.
Manakala sebelum aksi perebutan kejuaraan antara tuan rumah, Harimau Malaya dan Lubnan pula dilaporkan terjual mencecah 5,000 keping.
Untuk makluman, sebelum bermula kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024, beberapa pergerakan ultras mengumumkan boikot dan tidak mahu menghadirkan diri ke stadium sebagai protes kepada FAM atas beberapa alasan termasuk kehilangan khidmat Kim Pan-gon, gagal layak ke pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2026, kes melibatkan Faisal Halim dan lain-lain lagi.
Featured Image: Football Association of Malaysia