Machan FC Mempertimbangkan Tarik Diri Liga A1 Semi-Pro – Harga Tiket Penerbangan Meningkat
September 10, 2024 Hafizuddin Omar

Sebuah kelab yang berpangkalan Sarawak iaitu Machan FC sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada saingan Liga A1 Semi-Pro selepas sekitar empat bulan menyertainya.

Dimaklumkan, kelab yang dimiliki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, YB Allan Siden Gramong sedang memikirkan perkara berkenaan susulan peningkatan ketara harga tiket penerbangan domestik.

Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh pihak kelab menerusi satu hantaran di laman sosialnya pada Isnin sambil mengepilkan tangkap layar laporan media bertajuk “Harga Tiket Penerbangan Domestik Sahaja Cecah RM2K, Luah Kesal Netizan”.

“Seperti semua sedia maklum, Machan FC telah bergerak menggunakan dana kelab sendiri dan peningkatan ketara harga tiket penerbangan domestik telah menyebabkan kesukaran untuk Machan FC meneruskan baki Liga A1 Semi-Pro.” tulis kenyataan kelab.

Bagaimanapun, Machan FC belum memuktamadkan keputusan untuk menarik diri daripada kancah Liga A1 Semi-Pro tersebut dan perbincangan dengan pihak penganjur, Amateur Football League (AFL) akan diusahakan.

Machan FC mahu mencadangkan kepada AFL agar semua perlawanan di tempat lawan (away matches) diadakan serentak di ibu negara iaitu Kuala Lumpur bagi menjimatkan kos penerbangan.

Sebagai rekod, pada ketika ini, Machan FC yang menggunakan Stadium Azman Hashim, Sibu (sebelum ini di Stadium Negeri, Sarawak) menghuni tangga ke-13 daripada 15 pasukan bertanding selepas mengharungi 12 perlawanan.

Untuk makluman semua, ini merupakan julung kalinya Machan FC yang ditubuhkan pada 2022 beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro (dahulunya dikenali sebagai Liga M3) selepas membuat permohonan untuk menyertainya atas kapasiti tergolong dalam kelompok 4 pasukan terbaik Liga M4 2023.

Featured Image: Liga A1 Semi-Pro

Komen