Lebih Banyak Konsert Di Stadium Hoki Nasional – Hannah Yeoh
September 10, 2024 Hafizuddin Omar

Stadium Hoki Nasional akan menjadi venue bagi lebih banyak konsert pada masa akan datang, demikian perkongsian oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan sambil berkongsikan hantaran mengenai kumpulan muzik pop terkenal dari Amerika Syarikat, Maroon 5 yang akan mengadakan konsert di stadium berkenaan pada 12hb Februari 2025.

Kuala Lumpur, Malaysia menjadi salah satu daripada siri jelajah Maroon 5 Asia 2025 selain daripada Filipina, Indonesia, Bangkok, Jepun dan Taiwan dari Januari hingga Februari tahun hadapan.

“Ini merupakan keputusan yang tepat apabila KBS (Kementerian Belia dan Sukan) membuka Stadium Nasional Hoki untuk konsert.” tambahnya lagi menerusi Instagram Story pada akaun peribadinya.

Sebelum itu, Stadium Hoki Nasional yang berkapasiti 12,000 tempat duduk itu juga akan menjadi lokasi konsert bagi kumpulan rock juga dari Amerika Syarikat iaitu Green Day pada 18hb Februari 2025 – selang enam hari selepas konsert Maroon 5.

Sehari sebelum perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2024, Stadium Hoki Nasional turut menjadi lokasi bagi Konsert Jiwa Malaysia yang menampilkan persembahan beberapa kumpulan muzik tempatan seperti Spider, Hujan, Ruffedge, Bunkface dan beberapa lagi.

Sebagai rekod, Showcase Jiwa Kacau 2024 yang menghimpunkan persembahan artis tempatan dan Indonesia pada 23hb Jun lalu menjadi konsert pertama dianjurkan di Stadium Hoki Nasional sejak KBS membuat keputusan tersebut.

Sebelum ini, konsert melibatkan artis atau kumpulan muzik tempatan mahupun antarabangsa kerap dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang mempunyai kapasiti 85,500 tempat duduk.

Bagaimanapun, penganjuran konsert di stadium berkenaan mendapat kritikan oleh orang ramai khususnya peminat sukan dan bola sepak kerana merosakkan padang yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia.

Situasi itu menyebabkan padang yang dijadikan gelanggang rasmi atau “home” buat skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya serta venue bagi perlawanan akhir kejohanan berpiala domestik berada pada tahap tidak memuaskan.

Pada ketika ini, tiada sebarang larangan oleh KBS atau Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengadakan konsert di SNBJ namun begitu satu moratorium yang menghalang sebarang pemasangan struktur pentas di atas rumput telah dikeluarkan sekitar awal April lalu.

Lebih kurang seminggu lagi, SNBJ akan menjadi venue bagi konsert melibatkan penyanyi antarabangsa, Bruno Mars dijadualkan pada 17hb September kelak.

Featured Image: Perbadanan Stadium Malaysia

Komen