Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia Akan Didirikan Di Kuala Lumpur
September 10, 2024 Hafizuddin Omar

Sebuah Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia akan didirikan di ibu negara, Kuala Lumpur, Malaysia, demikian perkongsian oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tujuan utama pusat ini didirikan adalah untuk menyumbang kepada pembangunan badminton di seluruh asia khususnya untuk Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) di rantau ini dengan menyediakan fasiliti latihan berkelas dunia di Malaysia.

Bukan itu sahaja, pusat itu juga berperanan untuk membangunkan bakat dengan menawarkan latihan berprestasi tinggi kepada para pemain serta peluang pembangunan untuk jurulatih dan pengadil (umpire) menerusi Program Pembangunan Majlis Olimpik Asia (OCA) yang berstruktur.

Inisiatif ini dijelmakan hasil kolaborasi antara OCA, MOM dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kerjasama itu telah dimeterai dengan satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Presiden OCA yang baharu, Raja Randhir Singh; Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria dan Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.

Difahamkan, konsep Pusat Badminton Berprestasi Tinggi Asia ini pada asalnya diusulkan oleh Norza ketika Ketua Pengarah OCA, Kapten Hussain Al-Musallam mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur pada 1hb Mei 2023.

Semasa sesi lawatan tersebut, Hussain telah dibawa oleh Norza melawat Akademi Badminton Malaysia (ABM) – yang turut menampatkan BAM serta hab latihan utama untuk skuad badminton kebangsaan – kagum akan fasiliti terkini yang berada di situ.

Untuk makluman, MoU tersebut dimeterai ketika Perhimpunan Agung OCA Kali Ke-44 di New Delhi, India pada 8hb September lalu – perhimpunan yang sama mengesahkan perlantikan Norza sebagai Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara penggal 2024-2028.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen