The Pocket Rocketman & Keluarga Dapat Kejutan Tajaan Umrah
Hafiz Omar

Jaguh berbasikal trek tanah air, Datuk Azizulhasni Awang atau nama gelarannya “The Pocket Rocketman” dan keluarganya menerima satu kejutan iaitu tajaan untuk mengerjakan ibadah umrah secara percuma.
Pelumba berusia 36 tahun terbabit mendapat kejutan tersebut oleh TH Travel & Services ketika melawat agensi berkenaan di Menara TH Selborn, Kuala Lumpur.
Lawatan itu dilakukan oleh Azizul bersama-sama isterinya sebagai kunjungan hormat untuk bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel iaitu YM Tengku Badlishah Shukri Tengku Ibrahim serta seluruh warga TH Travel.
“Ucapan ribuan terima kasih kepada semua dan saya amat teruja untuk mengerjakan umrah bersama TH Travel,” kongsinya menerusi pelbagai platform media sosialnya.
Dalam lawatan itu, Azizul sempat berkongsikan mengenai TH Travel yang menyediakan perkhidmatan terbaik serta sistematik untuk pakej haji, umrah dan ziarah.
Selain itu, Azizul turut dimaklumkan TH Travel turut mempunyai pakej pelancongan ke pelbagai destinasi menarik di seluruh dunia termasuk pakej pelayaran (cruise).
Sebelum ini, seorang lagi pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berimpian untuk membawa ibunya menunaikan ibadah umrah turut mendapat tajaan oleh agensi Ikhlas Com Travel & Umrah.