Jodoh penggempur muda dari Jordan, Reziq Banihani bersama Selangor FC menemui titik noktah selepas empat bulan.
Ini berikutan pemain berusia 22 tahun yang sering beraksi di posisi sayap kiri itu dimaklumkan telah meninggalkan Selangor FC, pada hari ini.
Pemergiaannya itu adalah secara tetap berikutan Reziq menyertai sebuah kelab di negara kelahirannya yang tidak didedahkan namanya.
“Kami berterima kasih atas khidmatnya sepanjang bersama Gergasi Merah dan mengucapkan selama maju jaya untuk masa depannya,” tulis kenyataan kelab yang dikeluarkan sekitar jam 1 pagi.
Sebagai rekod, Reziq diumumkan menyertai Selangor FC pada 3hb Mei lalu selepas berhijrah meninggalkan Al-Faisaly.
Sepanjang bersama skuad bimbingan Nidzam Jamil, Reziq telah merekodkan sepuluh penampilan dalam saingan Liga Malaysia disamping menjaringkan dua gol serta mencipta satu bantuan gol.
Penampilan terakhirnya bersama Selangor FC adalah ketika dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA 2024-25 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Featured Image: Selangor FC