Kelayakan Piala Dunia 2026: Naib Juara Piala Asia Tundukkan Palestin Di Cheras
September 11, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad yang muncul naib juara Piala Asia 2023, Jordan berjaya mendapatkan tiga mata pertamanya dalam Kumpulan B saingan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Kemenangan itu dilakar dengan menundukkan Palestin yang julung kalinya mara ke peringkat ini dalam sejarah mereka di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Dalam perlawanan tersebut, Jordan meraih kemenangan selesa 3-1 hasil jaringan berganda daripada Yazan Al-Naimat pada minit ke-5 dan ke-50 sementara satu lagi jaringan disumbangkan oleh pemain tengah Selangor FC, Noor Al Rawabdeh pada minit ke-72.

Manakala jaringan tunggal oleh Palestin pula dijelmakan oleh Wessam Abou Ali pada minit ke-41.

Sebagai rekod, ini juga kemenangan pertama Jordan selepas diikat oleh Kuwait pada perlawanan pertama di tempat sendiri pada Jumaat lalu.

Pertembungan di Cheras selaku “home” buat Palestin itu turut merekodkan kehadiran seramai 3,012 penonton termasuk dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin; Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), Jeneral Jibril Alrjoub dan Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan (JFA), HRH Prince Ali Al Hussein.

Kemenangan ke atas Palestin itu membolehkan Jordan mengungguli Kumpulan B dengan empat mata sambil diikuti oleh Republik Korea di tempat kedua dengan jumlah pungutan mata yang sama.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen