Skuad Bola Sepak New Zealand Ikat Amerika Syarikat 1-1
September 11, 2024 Hafizuddin Omar

Bukan calang-calang kehebatan skuad bola sepak kebangsaan New Zealand – pasukan yang akan ditentang oleh Malaysia bimbingan Pau Marti pada bulan hadapan.

Skuad berjulukan “All White” itu baru sahaja mengikat pasukan yang menghuni ranking ke-16, Amerika Syarikat dunia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium TQL, Cincinnati, Ohio itu berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Amerika Syarikat yang pernah beraksi sebanyak 11 kali dalam kejohanan Piala Dunia meraih jaringannya menerusi pemain AC Milan yang masuk sebagai pemain gantian, Christian Pulisic pada minit ke-69.

Bagaimanapun, New Zealand berjaya menyamakan kedudukan tersebut apabila bola yang cuba dikeluarkan oleh pemain Amerika Syarikat terpesong masuk ke dalam gawang ekoran terkena kaki pemain gantian, Ben Waine pada penghujung permainan.

Selain Pulisic, skuad Amerik Syarikat itu turut dibarisi beberapa pemain yang beraksi bersama kelab ternama eropah seperti Folarin Balogun (AS Monaco), Ricardo Pepi (PSV), Aidan Morris (Middlesbrough), Yunus Musah (AC Milan), Mark McKenzie (Toulouse), Chris Richard (Crystal Palace) dan lain-lain lagi.

Sebelum bertemu Amerika Syarikat, New Zealand bertemu Mexico juga dalam perlawanan persahabatan antarabang. Bagaimanapun, pertemuan itu berakhir dengan New Zealand tewas 0-3.

Untuk makluman, New Zealand dijadualkan bertemu Malaysia pada 14hb Oktober kelak dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bertaraf tier 1 di Auckland.

Featured Image: New Zealand Football

Komen