Kejohanan 7s Asia: Stephan Schrock Harap Dapat Berentap Menentang Safee Sali
September 11, 2024 Hafizuddin Omar

Bekas kapten skuad kebangsaan Filipina yang telah bersara, Stephan Schrock berharap dapat berentap menentang Safee Sali dalam Kejohanan 7-sebelah Asia yang akan berlangsung di EV Arena, Elmina dari 10hb hingga 13hb Oktober kelak.

Pemain tengah kelahiran Jerman yang mengumumkan persaraan daripada bola sepak 11 sebelah sekitar dua minggu lalu mengharapkan Safee dapat mewakili Malaysia dalam kejohanan sekaligus memeriahkan lagi edisi kedua Kejohanan 7s Asia yang melibatkan lapan buah pasukan ini.

Dalam sesi undian yang berlangsung di Shah Alam pada hari ini, Filipina yang diwakili Schrock telah diundi bersama-sama Malaysia, Hong Kong dan naib johan edisi lalu, India dalam Kumpulan B.

Manakala Kumpulan A pula diisi dengan juara bertahan, Jepun bersama-sama Brunei, Singapura dan Vietnam.

“Sebelum sidang media kejohanan ini, saya telah bercakap dengan Super Safee, saya harap dia sertai (kejohanan) ini,

“Dia merupakan salah seorang yang saya hadapi semasa bermain dalam perlawanan 11 sebelah, saya sangat mengharapkan dapat berhadapan dengannya di kejohanan ini,”

“Saya menelefon untuk mewakili Malaysia kerana dia merupakan pemain bola sepak yang hebat dengan pengalaman yang kaya bersama pasukan negaranya dan asia tenggara,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian, pada hari ini.

Sebelum ini, Stephan pernah bermain bersama-sama Safee iaitu Far East United berentap dalam kejohanan bola sepak 7s di Amerik Syarikat, The Soccer Tournament (TST) 2023.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia, Adam Azman memaklumkan Malaysia belum memuktamadkan pemain-pemain untuk beraksi dalam kejohanan ini namun akan membentuk pasukan dengan campuran pemain muda bertenaga dan berpengalaman.

Beliau yang juga pengasas Bunga Raya Damansara FC memaklumkan ada bercakap dengan bekas-bekas pemain skuad Harimau Malaya yang beraksi bersama pasukannya seperti Khyril Muhymeen, K. Gurusamy dan Kogileswaran Raj.

Pada masa yang sama, beliau juga telah bercakap dengan wira yang membawa Malaysia menjuarai Piala AFF 2010, Safee serta Norshahrul Idlan Talaha.

Beliau menjangkakan jurulatih dan pemain-pemain yang akan mewakili skuad Malaysia dapat dimuktamadkan pada Jumaat minggu hadapan.

Sebagai tambahan, Kejohanan 7s Asia ini dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak 7×7 – sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diasaskan pada tahun 2022 oleh Anton del Rosario untuk mempromosikan bola sepak 7s kepada dunia.

Komen