Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah Jumpa Beregu No.12 Dunia Di Suku Akhir
September 12, 2024 Hafizuddin Omar

Gandingan pemain Indonesia yang menduduki ranking ke-12 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amallia Cahaya Pratiwi menjadi cabaran seterusnya buat Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam Terbuka Hong Kong 2024.

Kedua-dua dijadualkan berentap pada hari esok pada peringkat suku akhir susulan berjaya melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing pada hari ini.

Pearly-Thinaah yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan gandingan pemain tuan rumah, Lui Lok Lok dan Tsang Hiu Yan secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-14.

Sementara itu, Febriana-Amallia yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan juga mara dengan menumpaskan beregu tuan rumah, Fan Ka Yan dan Yau Mau Ying secara “straight set” dengan pengutan mata 21-8 dan 21-17.

Merujuk kepada rekod, Pearly-Thinaah sudah pernah bertemu Febriana-Amallia sebanyak empat kali sebelum ini di pelbagai kejohanan antarabangsa.

Daripada kesemua pertemuan tersebut, Pearly-Thinaah mempunyai rekod yang baik dengan mencatatkan tiga kemenangan dan hanya tewas satu kali sahaja di tangan Febriana-Amallia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen