Beregu badminton wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan akan bertembung dengan juara asia dari Korea, Baek Ha Na dan Lee So Hee pada peringkat separuh akhir Terbuka Hong Kong 2024.
Pertembungan melibatkan Pearly-Thinaah dan beregu No.2 dunia di Jelajah Dunia BWF Super 500 ini terhasil susulan kedua-dua beregu ini berjaya menumpaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir, pada hari ini.
Pearly-Thinaah yang menduduki ranking kelapan dunia melakar kemaraan susulan menumpaskan beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amallia Cahaya Pratiwi secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-13 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.
Kemenangan itu sekaligus memperbaharui rekod pertemuan antara mereka dengan empat kemenangan daripada lima perlawanan di pentas antarabangsa berpihak kepada Pearly-Thinaah.
Sementara itu, Ha Na-So Hee yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan mara dengan menumpaskan beregu senegaranya, Lee Yu Lim dan Shin Seung Chan juga secara “straight set” menerusi skor 21-8 dan 21-18.
Berdasarkan rekod, kekuatan kedua-dua beregu ini seimbang dengan Pearly-Thinaah dan Ha Na-So Hee meraih dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan secara keseluruhan setakat ini.
Kedua-dua pasangan ini baru sahaja berentap pada peringkat yang sama ketika beraksi di Terbuka Korea 2024 sekitar dua minggu lalu dimana ianya dimenangi Pearly-Thinaah menerusi skor 21-18 dan 21-13.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia