Tanggung 4 Skuad Pelapis Bukan Punca Utama Masalah Kewangan Kelab Liga Malaysia – CEO MFL
September 13, 2024 Hafizuddin Omar

Setiap kelab yang mahu beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia perlu mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada Malaysian Football League (MFL).

Berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab Edisi 2023, setiap kelab wajib mengadakan sekurang-kurangnya empat skuad pelapis iaitu skuad bawah 23 tahun (B-23), skuad bawah 20 tahun (B-20), skuad bawah 18 tahun (B-18) dan skuad bawah 17 tahun (B-17) bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Susulan masalah kewangan yang menimpa beberapa kelab dalam saingan Liga Malaysia akhir-akhir ini, terdapat kalangan penyokong dan peminat bola sepak tempatan mendakwa penetapan mengadakan sehingga empat pasukan pelapis ini telah meningkatkan kos operasi setiap kelab.

Tambahan pula, skuad-skuad pelapis ini tidak dapat menggemukkan kantung kewangan kelab kerana tiada pulangan daripada aspek penjualan tiket dan pembayaran hak penyiaran.

Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL) yang baharu, Giorgio Pompili Rossi tidak menganggap kewajiban untuk mengadakan empat skuad pelapis itu menjadi punca utama kepada masalah kewangan yang dihadapi beberapa kelab Liga Malaysia.

“Pada saat ini, saya tak fikir itu merupakan punca utama mengapa terjadinya masalah kewangan (kelab-kelab Liga Malaysia),” katanya ketika ditemui para pengamal media di salah sebuah rangkaian kedai kopi di Petaling Jaya, hari ini.

Berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab itu juga, skuad B-23 perlu beraksi dalam saingan Piala MFL anjuran MFL. Manakala skuad B-20 dan B-18 pula perlu dihantar bermain dalam kancah Piala Presiden dan Piala Belia masing-masing anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara itu, skuad B-17 pula wajib menyertai pertandingan rasmi peringkat kebangsaan, negeri atau daerah yang disokong atau diperakui oleh FAM.

Bagaimanapun, Giorgio akan melakukan perbincangan dengan pihak kelab-kelab yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia mengenai perkara tersebut dan melihat samada ianya mempengaruhi aspek kewangan masing-masing atau tidak.

Sebagai perbandingan, bagi permohonan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), setiap kelab juga diwajibkan untuk mengadakan empat skuad pelapis iaitu sekurang-kurangnya tiga skuad daripada kumpulan umur 10 hingga 21 tahun berserta satu skuad bawah 10 tahun (B-10).

Setiap skuad pelapis ini perlu menyertai pertandingan rasmi yang dimainkan di peringkat kebangsaan, wilayah (negeri) dan daerah yang disokong atau diperakui oleh Ahli Gabungan AFC (FAM).

Pemegang Lesen AFC akan mendapat lampu hijau untuk beraksi dalam pertandingan-pertandingan AFC seperti Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Liga Cabaran AFC (ACGL) sekiranya layak.

Komen